HARGA Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) dijamin lebih rendah berbanding MSAP sebelum ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, harga baharu untuk 2023 adalah RM254.64 sebulan dengan mengambil contoh harga perkhidmatan borong jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Mbps.
Menurut beliau, harga itu lebih rendah berbanding RM515 sebulan dalam MASP sebelum ini.
“Sebelum kerajaan tetapkan penurunan harga ini, kerajaan telah pun dapatkan cadangan dan maklum balas dari pemain industri dan orang awam supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak.
“Apabila kos penyediaan perkhidmatan ini telah diturunkan, harga di peringkat runcit (harga yang dijual kepada pengguna) boleh ditawarkan dengan harga yang lebih rendah.
“Dalam masa sama, ia dapat mengurangkan kos kepada penerima perkhidmatan capaian yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar tetap kepada pengguna,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Khoo Poay Tiong (PH – Kota Melaka) meminta menteri menjelaskan mengenai MASP yang dilaksanakan bermula 1 Mac 2023.
Beliau berkata, kerajaan akan berusaha untuk memastikan kualiti telekomunikasi yang lebih baik dengan harga yang lebih mampu milik untuk rakyat. – Edisi 9