SEMUA calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat
hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan berkata, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran.
“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri,”katanya.
KPM berkata, pihaknya merujuk kepada situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri di seluruh negara yang turut memberi kesan kepada calon peperiksaan SPM tahun 2022.
“Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat berterusan telah menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.
“Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.
Katanya, berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.
“Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat
dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalanraya tidak dapat dilalui
oleh semua jenis kenderaan.
“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.
“Manakala, seramai 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat
hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan
yang berhampiran.
“KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut,”katanya.
KPM berkata, pihaknya sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya
bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
“KPM juga sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022
berlangsung.
“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,”katanya. – Edisi 9

