ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) telah menggerakkan aset untuk membantu membawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang terlibat banjir ke pusat peperiksaan di Johor.
Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan tindakan itu sempena Op Murni Banjir di negeri Johor.
“Di Daerah Kluang, Pasukan 5 RAMD juga turut membantu membawa pelajar yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan guru ke pusat peperiksaan di SMK Kahang,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, menurut hantaran itu lagi, 7 Briged tekad memberi bantuan awal kepada seluruh penduduk yang terjejas banjir sejak pukul 9.30 malam semalam dengan membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memindahkan mereka ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan.
“Perlaksanaan OP Murni ini adalah sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam,” katanya.
-EDISI9