27.5 C
Kuala Lumpur
Monday, March 20, 2023

Ahmad Zahid pertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, apabila beliau diumum menang tanpa bertanding pada pemilihan bahagian itu, hari ini.

Seramai 424 perwakilan hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini.

Ahmad Zahid, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, beliau sedia melepaskan jawatan dalam parti apabila perlu berbuat demikian dan terdapat calon yang sesuai untuk menggantikannya.

“Saya pasti akan melepaskan jawatan saya apabila saya rasa saya perlu melepaskan … bila ada orang saya yakini boleh mengambil alih tempat (saya).

“Saya tidak akan pernah menongkat langit dan akan serahkan jawatan Ketua Bahagian dan Presiden UMNO kepada orang yang saya rasa boleh kuatkan parti kita,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, ahli UMNO terutama anak muda wajar diberi peluang untuk menggantikan kepimpinan parti itu.

Baca juga:   Mahkamah tolak permohonan Zahid dapatkan pasport secara kekal

Ahmad Zahid juga berkata, beliau memaafkan pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya secara terbuka, namun memberi amaran akan mengambil tindakan jika ada yang menjadi gunting dalam lipatan.

“Kita bina pasukan baharu. Kita tidak mahu ada kabilah-kabilah dalam kalangan kita. Dengan penyatuan dan pemerkasaan, UMNO akan memuncak serta mendapat sokongan daripada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, pengumuman di Bangunan UMNO Bagan Datuk itu juga menyaksikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk dimenangi oleh Datuk Khairuddin Tarmizi, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dipilih sebagai Naib Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk.

Baca juga:   PRU15 : Perjuangan politik rentasi gender, etnik

Pemilihan UMNO yang berlangsung secara serentak di seluruh negara hari ini menyaksikan 160,000 perwakilan memilih 95 calon yang bertanding Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), lapan calon Naib Presiden dan 10 calon Timbalan Pengerusi Tetap.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

BERSIH bidas lantikan politik Pengerusi GLC

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) membidas dua perlantikan jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti yang diumumkan Timbalan...

Lagi Artikel Berkaitan