PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan terus kukuh dan kekal bertahan dalam tempoh lima tahun mendatang.
Malah, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti (Parti Keadilan Rakyat) atas peranan dan semangat tanpa lelah yang ditonjolkan.
“Saya tegaskan Kerajaan Perpaduan akan terus bela nasib rakyat dan tidak akan sesekali berkompromi soal negara hukum dan rasuah. Saya mengulangi komitmen jitu bahawa hak dan kedudukan kaum Melayu serta Bumiputera lebih selamat dan terurus di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Dengan dukungan semua, saya percaya Kerajaan Perpaduan akan terus kukuh dan utuh untuk tempoh lima tahun mendatang.
“Saya amat yakin kita mampu menjadi contoh terbaik mengangkat hak rakyat terbanyak,” katanya dalam Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sempena menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bersempena Kongres Nasional Khas Keadilan 2023 yang berlangsung di Shah Alam hari ini.
Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri pada kongres itu, Anwar yang juga Presiden parti berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan kukuh parti-parti yang bersama membentuk kerajaan sejak empat bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada semua perwakilan, tanggungjawab secara bersama ialah menempatkan semangat perjuangan, menggilap obor reformasi dan jentera parti harus bergerak sederap agar agenda Malaysia MADANI dapat diterjemahkan secara lebih serius dan bermakna.
Kongres yang berlangsung di Stadium Malawati itu bertemakan Malaysia MADANI, Pelaksanaan Sebuah Idealisme, turut dihadiri Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan 41 wakil pejabat kedutaan asing.
-EDISI9