PENIAGA kedai runcit yang tular menjual tomato dengan harga mahal dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
KPDN dalam Facebook memaklumkan, sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka membuat tinjauan bagi memastikan kesahihan berita tersebut.
“Tular berita yang menyatakan ada kedai menjual tomato dengan harga tidak masuk akal. Dengan pantas sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka membuat tinjauan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tanda harga ada dipamerkan pada buah tomato tersebut iaitu RM 10.00 bagi sekilogram.
“Pemeriksaan menyeluruh juga telah dibuat dan satu tindakan kompaun telah diambil dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berkaitan tanda harga,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, KPDN memaklumkan pemilik premis ada menyatakan berlaku kesilapan semasa pengiraan dan baki wang tersebut telah dipulangkan semula kepada pelanggan.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki terkejut apabila perlu membayar RM9 untuk harga dua biji tomato seberat kira-kira 200 gram yang dibeli dari sebuah kedai runcit kampung di Bukit Pulau.
-EDISI9