Thursday, June 4, 2026

Tiga wanita termasuk dua beradik maut, nahas bertembung lori

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA wanita termasuk dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Muadzam Shah – Rompin, berhampiran kilang Farm Fresh, Pahang, malam tadi.

Mereka yang meninggal dunia dikenali Nurul Natasha Ahmad Akbal, 21, serta dua beradik, Suhada Ramli, 21, dan Nazira Ramli, 23, masing-masing dari Felda Selendang Satu, Rompin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 10 malam.

“Enam anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan mendapati berlaku kemalangan antara lori dengan kereta.

“Terdapat tiga mangsa wanita yang tersepit dalam kereta terbabit yang remuk teruk dan pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat hidraulik untuk mengeluarkan mereka, manakala pemandu lori treler selamat.

“Bomba berjaya mengeluarkan semua mangsa yang tersepit namun pemeriksaan oleh pasukan perubatan mendapati mereka bertiga sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, kesemua mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

-EDISI9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan