26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Skim Perubatan Madani bantu B40 ke klinik swasta – KKM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2023 apabila menerima peruntukan kedua terbesar dengan peningkatan sebanyak 12 peratus kepada RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, dalam belanjawan itu juga, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM120 juta bagi memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus bagi golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am dan swasta.

Menurut beliau, skim itu merupakan satu projek rintis yang menyasarkan golongan B40 dengan menyediakan kemudahan “kredit” untuk berjumpa Pegawai Perubatan Am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan.

“Ia juga merupakan satu langkah bagi mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Dr Zaliha lagi, seperti yang diumumkan, kerajaan juga mencadangkan hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan serta para penderma akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus.

Melalui belanjawan ini juga menurut beliau, KKM akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir RM700 juta ringgit bagi Hospital Melaka.

“Kerja awalan bagi menaik taraf 26 buah hospital akan dimulakan dalam usaha menaiktaraf Hospital Kuala Kangsar, Perak, Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor.

“Turut mendapat manfaat dalam pembentangan belanjawan pada kali ini sejumlah RM80 juta bagi memperkasa Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40), iaitu skim bagi pemeriksaan atau saringan awal khas untuk golongan B40 dan turut merangkumi saringan penyakit kencing manis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan KKM juga menyambut baik had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bermula tahun taksiran 2023.

“Kenaikan had pelepasan cukai daripada RM8 ribu kepada RM10 ribu akan turut meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, sejumlah RM3 bilion juga diperuntukkan bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

“Melalui peruntukan yang diberikan ini juga, KKM akan memastikan beberapa langkah bagi mengatasi kesesakan akan diambil seperti mengoptimum penyumberluaran pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta.

KKM juga menurut beliau menyambut baik penetapan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape serta penetapan separuh hasil duti eksais ini diperuntukkan semula ke Kementerian ini.

“Bagi mempertingkatkan usaha untuk memperkukuh kawalan tembakau dan melindungi generasi muda daripada terjebak dengan tabiat merokok serta mengurangkan kematian akibat penyakit berkait rokok dan vape, KKM menyambut baik komitmen Kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bersama Generasi Penamat (GEG).

Menurutnya, KKM sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan akan terus memanfaatkan peruntukan dan perhatian yang diberi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Ia merupakan belanjawan pertama dibentangkan bawah kerajaan perpaduan pimpinan Anwar dengan temanya Membangun Malaysia Madani.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan