31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pembangkang ibaratkan Belanjawan 2023 selimut senteng

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti sehelai selimut yang senteng oleh pihak pembangkang.

Bahkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri juga kelihatan tidak menyeluruh selain tidak menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.

“Apabila saya mendengar ucapan Tambun (Anwar), saya agak simpati kerana dalam keadaan ekonomi negara yang agak runsing pada hari ini, begitu juga dengan ekonomi dunia, saya merasakan mungkin ini yang menyebabkan ucapan YB (Yang Berhormat) pada hari itu adalah sesuatu yang saya anggap seperti bajet selimut yang senteng.

“Maksudnya kalau kita tutup muka, betis terselak, kalau tutup kaki, muka terdedah. Ertinya banyak perkara dalam belanjawan tersebut yang kurang dari segi pendekatan dalam menentukan masa depan kita kerana sepatutnya belanjawan ini boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Ujar Hamzah lagi, belanjawan negara sepatutnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat terutama anak muda selain perlu meringankan beban rakyat dalam kos sara hidup.

“Segala apa yang kita dengar, seharusnya belanjawan harus diberi atau diagihkan secara saksama kepada semua.

“Bukankah matlamat utama sesetengah perancangan itu untuk memberi nilai tambah dan limpahan yang berganda bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi dan daya saing negara,” katanya.

Terdahulu Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion berbanding RM71.6 bilion tahun lepas.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan