PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia yang pulang dari misi gempa bumi Turkiye menerima sambutan bagai wira di Lapangan Terbang Gaziantep.
Mereka diberikan tepukan penghargaan dan ucapan terima kasih oleh orang ramai di lapangan terbang tersebut sejurus sebelum berangkat pulang.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, pasukan SAR Malaysia telah memulakan proses demobilisasi dari Turkiye.
“Pasukan pertama yang akan pulang dari Istanbul akan didahului oleh MAS-10 dan dijadualkan tiba ke tanah air menerusi dua penerbangan iaitu pada pukul 12.20 tengah hari dan pukul 5.00 petang hari ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.
NADMA berkata, sebelum menamatkan misi di Gaziantep, pasukan MAS-01 SMART diketuai Timbalan Komandernya, DSP Safrizan telah mengadakan kunjungan ke atas Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan LEMA.
Mereka mengadakan pertemuan dengan Pengurus Koordisasi AFAD Nurdagi, Mehmet Salih Avci.
Turut bersama Komander Tertinggi Tentera di Wilayah Gaziantep, Jeneral Erdem Sakarya.
“Dalam pertemuan ini, AFAD menyampaikan ucapan terima kasih kepada Malaysia disamping memuji kecekapan pasukan Malaysia dalam operasi SAR di Nurdagi.
“Bantuan yang diberikan oleh pasukan SAR terutama MAS-01 amat bermakna bagi mereka, lebih-lebih lagi kejayaan menemui mangsa yang masih hidup.” katanya.
-EDISI9