26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MOTAC sasar kemasukan 16.1 juta pelancong asing tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kemasukan 16.1 juta pelancong asing dengan RM49.2 bilion pendapatan pelancongan tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata bagi menjayakan sasaran itu serta Pelan Pemulihan Pelancongan 2023, MOTAC telah meminta bantuan peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi meningkatkan promosi dan imej produk pelancongan negara.

“Kita dah minta bantuan MOF dengan tumpuan pasaran dikenal pasti melibatkan negara ASEAN, Timur Tengah, China, India dan juga Eropah, tertakluk kepada Belanjawan 2023.

Kita juga akan cuba yang terbaik bagi memudahkan perjalanan keluar masuk pelancong asing seperti penggunaan visa ketibaan, visa kemasukan berbilang, , e-visa dan visa transit,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata MOTAC juga akan mengadakan kerjasama rentas kementerian bersama MOF, Kementerian Ekonomi, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan bagi merancakkan sektor pelancongan.

Tiong berkata ini termasuk dalam meningkatkan ketersambungan kepada lokasi produk pelancongan dan pertambahan kapasiti tempat duduk penerbangan antarabangsa.

“Ketika ini, kita ada 720,000 tempat duduk, jadi kita akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk minta tambah jadual penerbangan atau adakan penerbangan charter daripada second line city,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong berkata pihaknya akan memastikan setiap produk pelancongan sedia ada di negara ini diselenggara dengan baik bagi memastikan pelancong mempunyai pengalaman percutian terbaik.

“Kita juga akan berusaha wujudkan produk pelancongan baharu selain menyediakan peruntukan yang mencukupi juga bersesuaian.

“Produk ekopelancongan, pelancongan luar bandar termasuk inap desa dan hasil kraftangan akan diperkukuh bagi memastikan ekonomi usahawan luar bandar mendapat manfaat dan secara langsung sebagai persiapan kita menyambut Tahun Melawat Malaysia 2025,” katanya. – BERNAMA

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan