34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Menu Rahmah teruskan MR1M, bukan idea baharu

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

MEDIA semalam banyak melaporkan tentang pelancaran satu inisiatif kerajaan untuk menangani masalah kenaikan kos sara hidup rakyat yang kian meruncing.

Sehingga kini tidak ada tindakan dan perancangan kerajaan yang boleh dilihat sebagai satu formula terbaik dan berkesan.

Tiada idea-idea baharu atau satu dasar yang besar yang dilakukan Kerajaan Madani, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

Mungkin kerajaan ini masih terlalu baharu atau menteri-menterinya masih dalam keadaan terkejut dengan situasi yang baru mereka kecapi sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam melancarkan satu program “Menu Rahmah” untuk rakyat Malaysia yang tidak berkemampuan dan golongan miskin tegar.

Ini bukanlah satu program baharu seperti dilaporkan salah sebuah portal media.

Keratan akhbar mengenai Menu Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2011.

Program seumpama ini telah dilaksanakan sebelum ini oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada tahun 2011.

Program tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Cuma berbeza sedikit ketika itu ialah program Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) ada sarapan pagi dengan harga RM2 dan makan tengah hari RM4 manakala Menu Rahmah diberikan untuk makan tengahari dan malam dengan harga RM5.

Cuma kenyataan Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak begitu jelas dalam bab golongan sasar atau kumpulan fokus.

Menteri menyebut golongan miskin tegar dan mereka yang memerlukan dan menyebut harap golongan lain tidak mengambil kesempatan.

Dalam soal kenaikan kos sara hidup pasti ia melibatkan pelbagai golongan.

Tidak kira pada paras atau kedudukan mana pasti kenaikan kos sara hidup hari ini bakal memberikan kesan ekonomi kepada seluruh rakyat termasuk golongan jutawan dan hartawan.

Bukan kita mahu mengkritik usaha baik kerajaan tetapi perancangan yang lebih besar dan bersifat jangkamasa panjang dan sederhana perlu difikirkan.

Mengenali menterinya yang mampu mengira jumlah ikan di dalam laut sebelum ini, saya menaruh sedikit kekhuatiran dan kebimbangan.

Menu Rahmah bukan penyelesaian tuntas tetapi ia permulaan yang baik dengan melaksanakan kembali idea asal yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Ternyata pendekatan kerajaan terdahulu merupakan sangat berkesan dan masih releven untuk dilaksanakan walau dahulunya pembangkang dan DAP membuat pelbagai tohmahan dan sindiran sinis kepada program ini.

Moga rakyat Malaysia terbela hasil dari kerajaan perpaduan yang stabil dan berintegriti. – Megat Tawarikh, Kuala Lumpur


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan