30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

KPM galas tanggungjawab besar, terima peruntukan tertinggi

Peruntukan yang diterima itu menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 dapat memberi impak yang optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras yang telah digariskan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara, Negara Sejahtera’.

Menyambut baik pengumuman Belanjawan 2023, KPM menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas.

KPM menerusi kenyataan berkata, peruntukan yang diterima itu menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan.

“Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023, jelas mencerminkan prinsip Malaysia Madani yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

“Dalam Belanjawan 2023, antara fokus utama untuk KPM adalah meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan para guru serta murid-murid.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, RM2.3 bilion adalah untuk membina
infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah.

“Ini termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 buah sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas, selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),”menurut kenyataan itu.

KPM berkata, sebanyak RM560 juta juga diperuntukkan untuk pembinaan tujuh buah sekolah baharu, antaranya SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

“Peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), selain RM15 juta untuk menyokong usaha NGO mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

“KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding RM625 juta pada tahun lepas, untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Advertisements

“Selain itu RM108 juta pula diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah KPM yang akanmemanfaatkan lebih 240,000 orang murid.

“KPM juga akan membuat pemantauan ke atas penyedia makanan dalam memastikan makanan yang disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat,”katanya.

Ujar KPM, pihaknya komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program ini.

Selari dengan arus pemodenan, KPM berkata, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital.

“Maka, bagi tahun 2023, kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 buah komputer riba.

“Ini adalah selaras dengan teras ke-7 KPM dalam meningkatkan keupayaan digital di sekolah,”katanya.

Menurut KPM, bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, RM20
juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program gotong-royong di semua
sekolah seluruh negara.

“Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah
agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan, yang
mana dua adalah di bawah KPM iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Ujar KPM, peruntukan yang diumumkan ini akan dapat memacu komitmen berterusan pihaknya untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah-sekolah. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan