25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas didapati dikendalikan kru warga asing tanpa izin (PATI), semalam.

Penahanan itu dibuat menerusi rondaan rutin Op Pertiwi dan Op Tanjung pada jam 10.30 pagi semalam

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, ketika rondaan, Kapal Maritim Malaysia mendapati sebuah bot nelayan tempatan kelas C sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kedudukan 42.3 batu nautika barat laut Pulau Kendi.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur antara 23 hingga 42 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan semua kru bot gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia ketika diminta penguat kuasa.

Advertisements

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Tegas Abd. Razak, Maritim Malaysia mendapati masih lagi terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dibuat sebelum ini.

Sehubungan itu, tambahnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan