34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Bersatu akan beri kerjasama, namun kesal strategi jelek PH-BN

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan melibatkan dakwaan salah laku yang dilakukan pemimpin parti tersebut.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada mereka.

Bagaimanapun menurutnya, Bersatu berasa kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) yang menjadikan agensi kerajaan sebagai alat untuk mencapai matlamat politik.

“Saya merujuk kepada laporan berita mengenai pembekuan akaun bank Bersatu oleh pihak SPRM. Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada kami.

“Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat dapat dihentikan segera. Para pemimpin dan pegawai parti yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga telah diarahkan agar memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Hamzah lagi, tindakan tersebut bagi membunuh kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka.

“Bersatu sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik. Semua ahli-ahli Bersatu dan pemimpin di semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” katanya.

Terdahulu, SPRM membekukan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, akaun terbabit dibekukan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya hari ini.

Disember tahun lalu, SPRM telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan Covid-19.

Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Fokus siasatan SPRM terarah kepada dana kerajaan RM92.5 bilion terbabit.

-EDISI9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan