30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Afrika berpotensi jadi ‘lubuk’ pelajar antarabangsa

MQA sudah mengadakan komunikasi awal dengan AQVN yang menaungi 30 negara di Afrika

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

INSTITUSI pendidikan tinggi (IPT) di negara ini disaran mengadakan promosi secara agresif bagi menembusi pasaran pendidikan tinggi di negara-negara Afrika.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, ini kerana menjelang 2050 Afrika akan menjadi antara populasi tertinggi dunia dengan 40 peratus daripadanya terdiri anak muda di bawah 20 tahun.

Malahan menurut beliau, trend populasi di benua tersebut sekarang sudah menjurus ke arah tersebut.

Beliau berkata, jangkaan demografi itu dikongsikan sendiri oleh Pengarah Institut Penyelidikan Afrika, Edward Paice ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan UK ENIC 2022 (UKENIC22) di London beberapa hari lalu.

“Dalam konteks ini, MQA sudah mengadakan komunikasi awal dengan The African Qualifications Verification Network (AQVN) yang menaungi 30 negara di Afrika ketika pertemuan bersama Pengerusi AQVN, Mirriam M A Chiyaba yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zambia Qualifications Authority.

“Kerjasama semua pihak yang berkenaan amat diharapkan untuk menjayakan agenda ini dan perlu bergerak pantas sebelum negara lain mengambil peluang keemasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Shatar turut menjadi ahli panel dalam program UKENIC22 yang diadakan di Queen Elizabeth II Centre, London itu.

Hadir sama, wakil UNESCO, Prof. Anne Anderson dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari.

Dengan tema Shifting Balance, Changing Models, persidangan itu mengumpulkan badan akreditasi pendidikan tinggi dan menampilkan pelbagai topik berbeza yang disampaikan melalui panel, bengkel dan pembentangan.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, secara umumnya anak muda di Afrika sangat dahagakan pendidikan.

Justeru, beliau berkata, IPT di Malaysia perlu membuat mempromosi sebaik mungkin bermula sekarang agar mampu membina reputasi dalam kalangan negara-negara di Afrika bahawa pendidikan tinggi Malaysia antara yang terbaik di dunia.

Katanya, dengan kemudahan asas yang baik, kos sara hidup yang berpatutan, keadaan aman damai serta faktor keselamatan, diharap pada masa akan datang pelajar dari Afrika akan memilih Malaysia sebagai pilhan utama untuk menyambung pengajian.

“Sekiranya kita berjaya menembusi pasaran Afrika, usaha ini akan membantu menjayakan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya.-Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan