26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 23, 2023

Warga emas maut selepas tagih hutang RM250 dari kawan lama

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia dalam pergaduhan berpunca dari menagih hutang di kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima, Kepong, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki berusia 48 tahun yang memaklumkan mengenai pergaduhan berkenaan, 7.30 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan awal dilakukan mendapati berlaku pergaduhan membabitkan dua lelaki pada 6.45 pagi di hadapan kedai makan berkenaan dengan seorang lelaki berusia 76 tahun meninggal dunia di tepi jalan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Dalam pergaduhan itu, mangsa dipukul suspek berusia 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik, manakala mangsa membalas serangan suspek menggunakan rod kabel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang berada di lokasi kejadian.

Baca juga:   Pemandu treler maut, tujuh cedera termasuk tiga kanak-kanak

Menurutnya, mangsa kemudian beredar dengan berjalan sebelum rebah dan meninggal dunia di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.

“Kami menahan suspek ketika dia hadir di Balai Polis Kepong bagi membuat laporan berhubung pergaduhan itu kira-kira 11 pagi tadi,” katanya.

Ujar Eng Lai, pihaknya turut merampas kerusi plastik dan rod kabel yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu bagi membantu siasatan.

“Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada masalah hutang dengan suspek yang juga rakan lamanya yang gagal menjelaskan hutang kepada mangsa sebanyak RM250.

Baca juga:   PM cabar Malaysia bawa pulang emas pertama Olimpik

“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan,” katanya.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Kejar pahala, jangan siakan dengan pembaziran – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati umat Islam agar mengejar pahala bulan Ramadan serta tidak mensia-siakan bulan...

Lagi Artikel Berkaitan