PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan golongan ulama dalam politik supaya tidak sewenang-wenangnya menukar hukum dan fatwa agama.
Malah, beliau yang juga Presiden UMNO itu menyelar sikap ‘double standard’ Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.
Beliau khuatir dengan tanggapan serong umum khususnya orang Islam berikutan sikap ditonjolkan Ahli Parlimen Marang itu selaku ulama yang beliau dakwa tiada integriti.
“Kalau dia buat (dianggap) sedekah. Kalau kita bagi (dianggap) rasuah.
“Ulama ini jangan tukar-tukar hukum dan jangan tukar fatwa…akhirnya ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan oleh orang Islam.
“Ulama kena ada integriti. Sebagai ulama, jangan tukar-tukar fatwa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Abdul Hadi semalam, yang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.
Abdul Hadi berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan sambil menambah undang-undang menetapkan bahawa setiap calon serta wakil tidak boleh memberi wang ketika berkempen.
-EDISI9