SURUHANJAYA Kanak-Kanak yang bakal ditubuhkan akan berfungsi sebagai sebuah badan berkanun yang bebas untuk melindungi dan memelihara kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, suruhanjaya itu akan berfungsi untuk mempromosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada kerajaan dan orang awam, serta mengadakan inkuiri dan menjalankan penyiasatan terhadap aduan mengenai pelanggaran hak kanak-kanak.
“Suruhanjaya itu juga akan berfungsi untuk menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal perundangan, arahan pentadbiran dan prosedur serta mengesyorkan tindakan-tindakan yang perlu diambil.
“Di samping itu akan menasihati kerajaan berhubung obligasi antarabangsa di bawah Convention on the Rights of the Child (CRC) dan lain-lain perjanjian antarabangsa yang berkaitan,”katanya.
Azalina mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri yang telah bersetuju untuk menubuhkan suruhanjaya itu.
Mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Azalina berkata pesuruhjaya itu akan menerajui proses penubuhan suruhanjaya itu melalui penggubalan akta yang khusus sepanjang tempoh pelantikannya.
“Pengumuman Pesuruhjaya Kanak-kanak tersebut akan dilakukan selepas mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejajar dengan Seksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.
“Kerajaan sentiasa prihatin tentang kebajikan, kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak. Masalah penganiayaan, eksploitasi, jenayah seksual dan pencabulan hak asasi terhadap kanak-kanak memerlukan tindakan yang pantas dari kerajaan,”katanya.
Anwar semalam mengumumkan kerajaan telah memutuskan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk menganggotai Suhakam.
Ia adalah cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam bagi meneliti dan mendepani masalah berkaitan penderaan dan masalah sosial melibatkan kanak-kanak.-BERNAMA