29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

SUARAM gesa siasatan telus dakwaan remaja dirogol polis

Kes rogol ini adalah antara kes yang memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil (civil society organisation - CSO).

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SUARA Rakyat Malaysia (SUARAM) menggesa siasatan telus ke atas dakwaan seorang gadis berusia 16 tahun yang dirogol seorang pegawai polis berpangkat Inspektor.

Pertubuhan itu dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius mengenai dakwaan terbabit.

“Polis yang sepatutnya menjadi pelindung kepada masyarakat telah mengancam keselamatan individu.

“Kami melihat perbuatan rogol ini satu jenayah yang serius. SUARAM meminta agar satu siasatan terhadap pegawai polis itu dilaksanakan secara telus dan terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, SUARAM berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus sentiasa kemas kini perkembangan siasatan serta mengumumkan tindakan susulan yang diambil.

“Perkara ini tidak boleh hanya tertakluk kepada tindakan tatatertib sahaja tetapi inspektor yang didakwa terlibat dalam kes rogol ini harus dituduh di mahkamah.

“SUARAM juga mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) PDRM ketika mengendalikan kes berkaitan dengan rogol dan gangguan seksual.

“Memandangkan Akta Antigangguan Seksual telah diwartakan, PDRM harus meneliti semula dan memperhalusi SOP yang lebih sensitif kepada gender, malah memberi latihan profesional kepada pegawai-pegawai penyiasat berkenaan.

“SUARAM mengingatkan pihak umum bahawa ini bukan kali pertama pihak media membongkarkan kes rogol atau gangguan seksual yang dilakukan oleh pegawai polis.

“Kami khuatir kes sebegini tetap berulang kerana budaya bebas daripada sebarang hukuman.

“Kes rogol ini adalah antara kes yang memerlukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang diperjuangkan oleh kumpulan masyarakat sivil (CSO).

“Namun dalam konteks Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang sedia ada, ia tidak mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan yang setimpalnya.

“Sebarang keputusan siasatan oleh IPCC hanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) akan tetapi SPP tidak mempunyai kewajipan untuk melaksanakan cadangan tersebut ataupun melapor balik kepada IPCC,” katanya.

Sehubungan dengan itu, SUARAM menyeru agar kerajaan baharu mengadakan satu mesyuarat libat urus bersama pihak CSO untuk kaji semula Akta IPCC yang sedia ada, sama ada menggantikannya dengan IPCMC atau memasukkan elemen-elemen seperti suruhanjaya yang bebas serta mempunyai kuasa menyiasat dan penguatkuasaan ke dalam IPCC.

“Kami menekankan bahawa keadilan kepada mangsa hanya boleh ditegakkan melalui tindakan yang tegas dan telus terhadap inspektor tersebut.

“Sistem akautabiliti polis pula perlu dikukuhkan dengan segera bagi memulihkan kepercayaan umum terhadap pihak polis,”katanya.

Kelmarin, media melaporkan seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol seorang pegawai polis berpangkat inspektor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar. Pegawai terbabit sudah ditahan.

Mangsa membuat laporan tiga hari selepas dakwaan serangan seksual oleh suspek dalam lingkungan 30-an.- Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan