PENYELARASAN Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Johor dan Sabah diminta untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan situasi banjir memandangkan ramalan MET Melaysia menjangkakan penumpuan hujan lebat bermula esok.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan PKOB Negeri Johor turut diminta untuk menyelaras bersama agensi-agensi berkaitan di peringkat negeri bagi tujuan penghantaran bekalan makanan makanan kepada penduduk orang asli di beberapa kawasan di daerah Kluang yang telah terputus hubungan.
“Perbincangan teknikal bersama agensi teknikal JPS Negeri perlu diadakan berhubung keperluan pam bergerak bagi kawasan-kawasan yang dijangka mengalami banjir genang.
“Keadaan banjir di Johor dan Sabah masih terkawal berdasarkan kepada maklumbalas daripada JPBN kedua-dua buah negeri,” katanya hari ini.
Ujar NADMA, Berikutan ramalan cuaca MET Malaysia, dijangka akan berlaku pertambahan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) oleh itu PKOB Pusat telah mengarahkan JKM untuk memastikan bekalan makanan dan barangan asas di PPS sentiasa mencukupi.
“Semua PKOB Negeri telah diminta untuk menyegerakan verifikasi senarai nama Ketua Isi Rumah (KIR) penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) (penerimaan BWI adalah sekali sahaja dalam tempoh tiga bulan sekiranya bencana berulang).
“Penyelarasan proses pemberian BWI perlu disegerakan bagi mengelakkan kelewatan penerimaan bantuan ini,” katanya.
Dalam pada itu, setakat pukul 4 petang tadi, empat negeri terjejas akibat banjir dengan 12,166 orang mangsa daripada 3791 KIR direkodkan berada di 86 buah PPS.
“Negeri yang masih terjejas melibatkan 14 daerah di negeri Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Menurut agensi itu lagi, dari data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terdapat satu sungai merekodkan bacaan aras air di tahap bahaya iaitu Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin, Pahang dan satu sungai di tahap amaran iaitu sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.
“Pada pukul 1.30 tengah hari, JPS turut mengeluarkan Notis Kesiapsiagan Kemungkinan Banjir Kilat bagi penduduk Perak Tengah, Hilir Perak, Mersing, Rompin, Kuching, Samarahan, Betong, Miri, Tuaran dan Pitas,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, NADMA memaklumkan, berdasarkan analisis model cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), luruan monsun yang berlaku di rantau negara dijangka berlanjutan sehingga 2 Februari ini.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menghasilkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh tersebut.
“Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang juga dijangka berlaku di pedalaman dan barat Semenanjung, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah pada sebelah petang dan malam dalam tempoh ramalan.
“Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 31 Januari ini,” katanya.
Ujar kenyataan itu lagi, sehingga 2 petang, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan Peringkat waspada di mana hujan berterusan dijangka berlaku sehingga 30 Januari di negeri Kelantan iaitu membabitkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, Terengganu, Pahang (Jerantut. Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Setakat ini sebanyak 10 siri Amaran Hujan Berterusan telah dikeluarkan dalam tempoh MTL 2022/2023. Sehingga kini, terdapat 3 episod hujan lebat dengan episod hujan lebat ketiga sedang berlaku bermula pada 19 Januari lalu,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan maklumat dari Jabatan Kerja Raya (JKR) pula, setakat 10.00 pagi tadi, sebanyak 13 lokasi kejadian bencana telah berlaku di jalan-jalan persekutuan iaitu membabitkan lima lokasi dan jalan-jalan negeri (8) di negeri Johor (5), Pahang (4) dan Perak (4).
Ujarnya, kejadian bencana itu melibatkan kejadian banjir tujuh lokasi, cerun runtuh (5) dan jalan mendap (1).
Manakala, data Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) melaporkan setakat 11.59 malam semalam, sebanyak 94 kejadian tanah runtuh direkodkan sejak 19 September tahun lalu.
Menurut NADMA, 26 kes tanah runtuh direkodkan di Sabah (26), Sarawak (17), Selangor (14), Pahang (13), Terengganu (6). Negeri Sembilan (6). Perak (5), Johor (3), Melaka (2), dan Kelantan (2).
-EDISI9