PENINGKATAN harga makanan dan minuman di luar rumah terutamanya di restoran dan hotel menjadi penyumbang utama kepada kadar inflasi di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, semua komponen utama Indeks Harga Pengguna (IHP) atau kadar inflasi semakin sederhana kecuali komponen Restoran dan Hotel, Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain.
Ujar beliau lagi, sepertimana yang disebutkan sebelum ini, kerajaan ingin mengingatkan bahawa pengguna boleh memainkan peranan dalam bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan demi mengawal inflasi.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen pada 12 Januari lalu, iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain.
“Platform ini turut mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Data PriceCatcher yang diterbitkan merupakan data terkini dengan selang waktu satu hari. Kerajaan mengharapkan penerbitan data ini dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat, dan seterusnya menjadikan permintaan lebih anjal di samping mengawal kenaikan harga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi menegaskan pelbagai usaha lain juga telah dilaksanakan untuk mengawal harga di semua restoran dan gerai makanan di seluruh negara.
Namun menurut beliau, terdapat cabaran dari sudut pelaksanaan pemantauan disebabkan kapasiti pegawai penguatkuasa KPDN yang terhad.
“Beberapa agensi Kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang merangka strategi baharu sebagai quick win solution kepada isu kos sara hidup dan akan diumumkan dalam waktu terdekat.
“Langkah untuk jangka panjang juga sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga,” katanya.
Untuk rekod, kadar inflasi pada Disember tahun lalu menurun kepada 3.8 peratus berbanding bulan 4.0 peratus.
-EDISI9