27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

‘Pak Arab’, tokan dadah diberkas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEGIATAN seorang lelaki berbangsa Arab yang terbabit dalam sindiket pengedaran dadah disyaki mengedar dadah di sekitar Lembah Klang tumpas apabila diberkas dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Sierra, Puchong pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan itu polis menemui tiga paket plastik mengandungi leraian daun kering disyaki ganja, empat paket ketulan mampat disyaki ganja dan dua ketulan mampat daun kering dibaluti foil aluminium disyaki ganja seberat 2.1 kilogram.

Katanya, soal siasat ke atas suspek berusia 23 tahun itu membawa penemuan 213 ketulan mampat dedaun kering berbalut disyaki ganja seberat 219.16 kilogram yang disorok di dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir kondominium tersebut.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 221.26 kilogram bernilai RM663,798,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Wan Kamarul Azran, siasatan mendapati dadah yang diperoleh suspek daripada negeri di utara Semenanjung.

“Suspek dipercayai masuk menggunakan visa pelancong yang telah tamat tempoh pada 17 Januari dan dipercayai aktif mengedar serta menjual dadah di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lalu.

“Suspek hanya menjual kepada kenalan terdekat dan pelanggan sindiket kebanyakannya terdiri daripada warga asing dari negara asalnya di Timur Tengah.

“Suspek yang merupakan bekas pelajar di sebuah kolej swasta di negara ini turut didapati positif Methaphetamine dan Amphethamine serta THC menerusi ujian saringan air kencing dilakukan,”katanya.

Sehubungan dengan itu, Wan Kamarul Azran berkata, polis sedang memburu seorang lagi suspek warga asing yang disyaki bersubahat dalam kegiatan pengedaran dadah itu.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta 15 kali sebatan jika disabitkan kesalahan. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan