34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Muhyiddin nasihat Anwar letak jawatan Menteri Kewangan

Juga menasihati PM agar mengarahkan Zahid Hamidi mengambil cuti sehingga kes mahkamahnya selesai.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Anwar Ibrahim dinasihat agar melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan memberi tumpuan kepada tugas sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana sebagai rakyat biasa beliau tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri.

Beliau juga bimbang sekiranya mengulangi kesilapan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.

“Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama,” kata bekas Perdana Menteri itu hari ini.

Pada masa yang sama, Muhyiddin juga menasihati Anwar agar meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil cuti sehingga kes mahkamahnya selesai.

“Malulah rakyat Malaysia jika beliau (Zahid) ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menasihati Nurul Izzah agar meletakkan jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri memandangkan beliau merupakan seorang pemimpin wanita muda berbakat dan berpotensi besar.

“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah.

“Ini pandangan saya sebagai rakyat biasa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pimpinan Anwar tidak bermula dengan betul dari awal lagi.

Katanya, janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Zahid yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dakwa Muhyiddin, pelantikan itu dilakukan semata-mata kerana membalas “budi” Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan you scratch my back, I scratch your back.

Beliau berkata, janji untuk tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai memegang portfolio tersebut.

“Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin.

“Yang terbaharu apabila beliau melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Dakwa Muhyiddin, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat.

“Pelantikan ini menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

“Belum sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan