28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Waktu mula persekolahan 8 pagi… Praktikal atau tidak?

Penukaran waktu persekolahan sebagai empati dan rasa belas kasihan kepada guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi untuk ke sekolah.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PRAKTIKAL ataupun tidak sekiranya sistem persekolahan di Semenanjung Malaysia bermula pada pukul 8 pagi?

Banyak persepsi dan reaksi yang mungkin akan diterima meksipun tujuan asal cadangan penukaran waktu persekolahan sebagai empati dan rasa belas kasihan kepada guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi untuk ke sekolah.

Seperti cadangan yang diutarakan Dr Anuar Ahmad dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melihat perubahan waktu bermula persekolahan perlu dilakukan.

Menurut beliau, ini bagi meraikan konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan slogan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek iaitu “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera.”

“Saya ingin mencadangkan supaya sistem persekolahan di semenanjung Malaysia bermula jam 8 pagi.

“Kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibubapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi.

“Jika sekolah di bandar terpaksa meredah kesesakan jalanraya seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah.

“Di sekolah pedalaman pula, dalam keadaan hari masih gelap, anak-anak kecil terpaksa meredah jalan becak dan berlumpur untuk ke sekolah.

“Ada anak-anak kecil yang terpaksa meredah denai belukar untuk ke sekolah. Ada anak-anak yang terpaksa berperahu ke sekolah.

“Malah ada murid-murid dan guru-guru yang tidak sempat bersarapan bersama keluarga. Terpaksa bergegas ke sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, jika kerajaan prihatin dengan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat, apa salahnya kerajaan lakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan rakyat.

“Mulakan sesi persekolahan pada jam 8 pagi,” ujarnya.

Sementara itu, cadangan yang dikongsikan beliau mendapat pelbagai reaksi dan persepsi yang diterima.

Ada warganet yang bersetuju dan tidak kurang juga yang menganggap cadangan itu akan mengundang masalah lain.

Sidqi Muhammad berkata, beliau setuju dengan cadangan tersebut sebagai seorang bapa dan pengguna jalan raya awal pagi.

“Kerap menyaksikan kemalangan antara pelajar sekolah dan ibu bapa yang bergegas menghantar anak. Jam 8 pagi adalah waktu yang paling ideal,” katanya.

Cik Jan pula berkata, “saya yang bawa van sekolah pun setuju, ada murid jam 6 dah menunggu bas sekolah, kalau sekolah jauh jam 5 pagi dah kena tunggu.”

Berbeza pula dengan Ninin Zalyana yang menganggap waktu sekolah bermula 7.30 pagi manakala bagi jabatan lain pukul 8 pagi.

“Sekarang pun leh fleksibel masuk jam 9 pagi,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan