26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Keputusan Najib, Arul Kanda bela diri atau bebas 3 Mac ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan kepada 3 Mac ini berhubung keputusan sama ada Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat pelaburan strategik itu.

Keputusan itu sepatutnya dibuat oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 30 Januari ini, namun dilapangkan dan ditetapkan semula pada tarikh berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi media mengesahkan perkara berkenaan.

Selain Ahmad Akram, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Najib dan Arul Kanda masing-masing diwakili peguam, Tan Sri Shafee Abdullah serta Datuk N Sivananthan.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September lalu, selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan berlangsung selama 43 hari bermula 18 Februari 2019.

Pada 24 Jun lalu, mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggil Arul Kanda sebagai saksi bagi memberikan keterangan terhadap Najib mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Antara saksi utama dipanggil memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang serta Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB dimuktamadkan Ketua Audit Negara, dipinda sebelum dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas Perdana Menteri itu untuk mengelak dikenakan tindakan tatatertib atau jenayah berkaitan 1MDB.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan