BEKAS pendakwa raya kes Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Gopal Sri Ram meninggal dunia di sebuah hospital swasta kira-kira pukul 12.15 tengah hari ini.
Kematian bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam.
Gopal, 79, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan minggu lepas kerana jangkitan paru-paru.
Mendiang merupakan pendakwa utama perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Beliau juga meruapak pendakwa utama bagi perbicaraan kes rasuah membabitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Menerusi ciapan di Twitter rasmi, Anwar mendoakan semoga urusan keluarga mendiang dipermudahkan serta mendoakan keluarga kuat dan cekal menghadapi khabar duka berkenaan.
“Takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram atas pemergian mendiang. Semoga urusan keluarga dipermudah dan keluarga kuat serta cekal berdepan khabar duka ini,” kata Perdana Menteri. – Edisi 9