24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

UMNO harus bertindak tegas, hapus duri dalam daging

Hukuman mesti adil kepada semua, jika hanya orang-orang bawahan sahaja dikenakan tindakan namun nama-nama besar dilepaskan begitu sahaja, maka ia tidak adil dan bukanlah suatu contoh tauladan yang baik.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

UMNO harus bertindak tegas mendepani cabaran mendatang tanpa ada duri dalam daging dalam parti.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, UMNO kini berada dalam masa yang penting untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran mendatang, kita tidak boleh berjuang dan menentang musuh dalam perang jika ada duri dalam daging di tubuh.

“Dalam setiap organisasi perlu ada disiplin, jika tidak organisasi akan menjadi anarki dan lemah serta mudah ditewaskan musuh. Sebab itu contohnya dalam tentera disiplin adalah perkara yang paling utama.

“Adakah kita perlu menjadi lembut atau lembik dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku tanpa apa-apa tindakan?,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

Menurut Isham, semasa zaman Rasulullah, tentera Islam telah kalah dalam perang Uhud kerana sebahagian daripada mereka tidak berdisiplin dan segera ingin mencari harta rampasan perang untuk diri sendiri tanpa menghiraukan arahan Rasulullah.

Katanya, walaupun UMNO adalah parti politik dan bukan organisasi tentera yang mana hukuman tidak mendengar arahan dalam tentera adalah seberat hukuman mati, namun setiap individu dalam organisasi yang bukan tentera pun perlu ikut disiplin berorganisasi supaya organisasi sentiasa kukuh dan tidak menjadi lemah.

“Dan hukuman mesti adil kepada semua, jika hanya orang-orang bawahan sahaja dikenakan tindakan namun nama-nama besar dilepaskan begitu sahaja, maka ia tidak adil dan bukanlah suatu contoh tauladan yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Isham turut memperjelaskan beberapa pihak yang mempersoalkan tentang prosedur dan isu teknikaliti berkenaan proses pemecatan nama-nama besar pemimpin UMNO baru-baru ini.

“Di sini saya ingin nyatakan (dan mengikut makluman dari para peguam UMNO) bahawa sebenarnya mengikut Perlembagaan UMNO proses tindakan pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada Majlis Kerja Tertinggi sahaja.

“Proses-proses lain yang melibatkan Lembaga Disiplin dan sebagainya itu sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan.

Advertisements

“Oleh itu apabila Majlis Kerja Tertinggi telah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan UMNO dan undang-undang serta peraturan,” katanya.

Jelas beliau, Lembaga Disiplin UMNO bukanlah Mahkamah Persekutuan dan hukuman yamg dikenakan ke atas Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin bukanlah hukuman penjara atau hukuman mati.

“Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Tan Sri Noh dan Khairy serta yang lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan yang seadilnya.

“Namun saya ingin menasihatkan kepada mereka supaya usahlah mencabar-cabar Lembaga Disiplin atau Majlis Kerja Tertinggi untuk memecat mereka seperti yang mereka telah lakukan sebelum ini, ini akan memburukkan lagi keadaan dan menunjukkan keangkuhan,” katanya.

Jumaat lalu, Lembaga Disiplin UMNO telah membuat keputusan untuk memecat Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin dari keahlian UMNO serta mengambil tindakan kepada 40 orang ahli UMNO yang lain.

Noh Omar telah disabitkan 16 pertuduhan melanggar disiplin parti semasa Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lalu selepas tidak dicalonkan.

Khairy pula telah menyatakan bahawa UMNO telah sesat semasa kempen PRU-15 di Sungai Buloh baru-baru ini dengan menghentam partinya sendiri untuk menarik pengundi yang membenci UMNO.

Sehubungan dengan itu, Isham mengharapkan ahli-ahli UMNO yang telah digantung dan dipecat supaya bersabar dengan cabaran Allah SWT.

“Saya dahulupun pernah dipecat daripada jawatan parti walaupun bukan kerana kesalahan disiplin, oleh itu saya tahu bagaimana rasanya apabila kita dipecat.

“Namun saya percaya untung nasib kita ditentukan oleh Allah SWT dan bukan oleh manusia, jika kita berjuang dengan ikhlas dan terus istiqamah, Allah akan bantu kita, Insha-Allah,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan