30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Doktor pakar ‘berputih mata’, lesap RM27,300

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG doktor pakar sakit puan di sebuah hospital ‘berputih mata’ apabila wang berjumlah RM27,300 lesap selepas ditipu individu yang tidak dikenali dan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian bermula selepas lelaki berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari LHDN Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, suspek terbabit mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebelum menyambung panggilan itu kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Melalui panggilan tersebut, mangsa diberitahu telah terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

“Disebabkan takut, mangsa telah menyerahkan maklumat perbankan dalam taliannya termasuk nama dan kata laluan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Tuan Sharif,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut beliau, mangsa menyedari ditipu setelah wang dalam akaun banknya dipindahkan melalui dua transaksi ke dalam akaun Public Bank atas nama Alfi Bin Haris.

Katanya, dua transaksi tersebut masing-masing berjumlah RM12,000 dan RM15,300 dengan jumlah keseluruhan RM27,300.

“Mangsa telah pun membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan pada pukul 5.21 petang semalam.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan