34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Anda boleh ‘serang’ saya, bukan pemain – Pan Gon

Kegagalan Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF selepas tewas kepada Thailand di separuh akhir malam tadi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“ANDA boleh salahkan saya dan anda boleh menyerang saya tetapi bukan pemain,” itu kata Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon sejurus perlawanan Malaysia-Thailand berakhir malam tadi.

Bagaimanapun, beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal membawa Harimau Malaya ke final Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022.

Impian Harimau Malaya untuk mara tidak berjaya selepas dijinakkan Thailand 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Thailand.

Jurulatih dari Korea Selatan itu memohon maaf kerana tidak dapat memberikan kegembiraan kepada peminat bola sepak negara dan meminta semua pihak tidak menyalahkan pemain atas kekalahan tersebut.

Katanya, jika ada masalah yang membawa kepada kekalahan pasukan negara, ia perlu ditujukan kepadanya sebagai individu yang bertanggungjawab sepenuhnya..

“Saya tiada rungutan dan kekesalan, apa yang pemain saya lakukan malam ini – mereka berlari bermati-matian, mereka mengikut arahan saya, mereka berjuang sehingga tamat.

“Semua yang berkaitan adalah keputusan saya (kerana) semua taktikal, barisan pemain dan strategi adalah penentuan saya, bukan pemain. Anda boleh salahkan saya dan anda boleh menyerang saya (tetapi) bukan pemain,” katanya pada sidang media pascaperlawanan.

Kemenangan tersebut membolehkan Thailand mara ke final dengan agregat 3-1 dan akan bertemu Vietnam di Hanoi, Jumaat ini dan final kedua di gelanggang sendiri, Isnin depan.

Thailand merupakan pasukan paling berjaya dalam kempen Piala AFF sejak acara sulung pada 1996 selepas muncul juara enam kali dalam sembilan edisi akhir sebelum ini. – BERNAMA

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan