26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Ahmad Zahid mohon pasport dikembalikan secara kekal

Ketiadaan pasport antarabangsa menjadi kekangan untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar pasport antarabangsanya yang ditahan sebagai syarat jaminan tambahan, dikembalikan kepada beliau secara kekal secepat mungkin.

Tegas beliau, pasport antarabangsanya yang kini ditahan oleh Mahkamah Tinggi sebagai syarat jaminan tambahan menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Malah menurut beliau, pasport antarabangsa diperlukan bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk mendapatkan pasport diplomatik untuk memudahkan perjalanan keluar masuk negara.

Ahmad Zahid turut memohon perintah mahkamah agar penyerahan pasport sebagai syarat jaminan tambahan diketepikan manakala jumlah jaminan RM2 juta dikekalkan.

Untuk rekod, pasport Ahmad Zahid ditahan oleh mahkamah hampir lima tahun lalu berikutan pendakwaan terhadapnya berhubung pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi sejak 2018.

Dalam afidavit yang diikrarkannya bagi menyokong permohonan tersebut, Ahmad Zahid menyatakan, beliau tidak mempunyai akses terhadap pasport tersebut sehingga menghalangnya melaksanakan tugas sebagai Menteri Kabinet.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2 Disember 2022 dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid selanjutnya menyatakan, beliau menerima mandat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilkan beliau dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

“Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, saya dikehendaki berada di dalam dan di luar negara yang mana saya percaya perkara tersebut memerlukan pasport berada dalam pegangan saya sendiri.

“Saya tidak berniat melarikan diri atau tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah kerana saya masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan bergiat aktif dalam bidang politik di Malaysia serta ahli keluarga saya kesemuanya berada di sini,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, permohonan itu sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah setiap kali beliau perlu melaksanakan tugas rasmi ke luar negara.

Ahmad Zahid turut mengikrarkan bahawa permohonan itu tidak berniat jahat atau memprejudiskan mana-mana pihak selain memberi akujanji untuk tetap memberikan kerjasama penuh menyelesaikan perbicaraan yang kini di peringkat pembelaan.

Ahmad Zahid memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 Januari lalu.

Timbalan Perdana Menteri turut memfailkan perakuan segera agar permohonan itu didengar dan diputuskan secepat mungkin.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Aini Hamzah yang turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob bagi pihak pendakwaan manakala peguam Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 Februari ini untuk satu lagi pengurusan kes.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan