26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Zahid arah aset ATM bantu isu logistik

KDN turut diminta mengaktifkan pasukan sukarelawan dikenali sebagai Sahabat KDN.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah meminta pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Menteri Pertahanan untuk memobilisasikan aset-aset yang tidak terlibat dengan banjir untuk ditempatkan di kawasan yang sedang dilanda banjir seperti di kawasan Pantai Timur.

Katanya, ini bagi menyelesaikan isu logistik yang melibatkan gerak kerja membantu mangsa dan penghantaran barang keperluan di lokasi terlibat.

“Saya juga sekali lagi ingin memohon seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan yang terdedah dengan bencana banjir agar dapat mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan berpindahlah sekiranya perlu.

“Negeri Terengganu masih kategori bahaya mengikut Amaran Hujan Berterusan MET Malaysia dan sebarang kemungkinan masih boleh berlaku.

“Agensi-Agensi menyelamat telah diarah untuk melaksanakan pemindahan awal ke PPS berdasarkan Amaran METMalaysia bagi mengelakkan kes-kes mangsa terperangkap di rumah berikutan kesukaran petugas untuk memasuki lokasi akibat terputus hubungan, air yang deras dan sebagainya.

“Semoga urusan kita semua dipermudahkan dan keadaan banjir beransur lebih baik,” katanya.

Terdahulu, beliau turun padang ke Terengganu bagi melihat keadaan keadaan banjir di negeri itu yang semakin membimbangkan.

Kata beliau, di Terengganu sahaja, lebih 39,721 mangsa banjir dikenalpasti dan 318 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan sekurang-kurangnya 10,800 keluarga.

“Keadaan ini berlaku setelah hujan lebat berterusan dan taburan hujan seperti di Daerah Besut ini meningkat tiga kali ganda daripada taburan hujan biasa akibat luruan kedua Monsun Timur Laut,” katanya.

Pasukan Penyelamat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, membuat pemantauan dan menyelamat mangsa banjir.

Dalam masa sama, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut diminta mengaktifkan pasukan sukarelawan dikenali sebagai Sahabat KDN dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau mengarahkan perkara itu selepas menerima banyak komen dan mesej di media sosial daripada pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu mangsa banjir.

“Insya-Allah saya telah minta kementerian untuk mengaktifkan sukarelawan yang dipanggil Sahabat KDN untuk fasa pembersihan pasca banjir nanti. Semua dialu-alukan untuk turut serta,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, ketika ini aset KDN bersama 18,170 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 4,367 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sudah dikerah untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan