30.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Usul undi percaya PM lulus, pembangkang anggap gimik

Sebanyak 12 ahli Parlimen membahaskan usul tersebut pada hari pertama Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Ke-15 hari ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

USUL undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lulus dengan undi suara di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul tersebut gimik semata-mata terutama selepas perjanjian dimeterai antara kerajaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Bahkan, Ahli Parlimen Larut itu berkata, usul yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu mewujudkan pelbagai persoalan.

“Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kami sedar bahawa usul ini adalah gimik semata-mata apatah lagi dilakukan selepas satu perjanjian kerjasama ditandatangani semua pemimpin untuk menyokong Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas pada usul percaya Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu itu, Hamzah menyifatkannya sebagai satu perjanjian yang menyekat dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

Sementara itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, usul tersebut tidak perlu dibentangkan kerana telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau Agong dah absah, kenapa nak bawa ke sini lagi? Jadilah Perdana Menteri,” katanya

Advertisements

Namun, Mohd. Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) membidas kembali dengan menjelaskan Perdana Menteri kali ini berani, tidak seperti sebelum ini.

Terdahulu, semasa membentangkan usul itu, Fadillah (GPS-Petrajaya) berkata penting bagi kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan keyakinan penggubal undang-undang memandangkan unjuran kemelesetan ekonomi pada 2023.

“Ini akan mengukuhkan keyakinan pelabur, komuniti perniagaan dan rakyat,” katanya sambil menambah sokongan yang diperoleh akan membolehkan kerajaan perpaduan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Justeru, dengan kepimpinan Perdana Menteri yang kesepuluh dan kerajaan perpaduannya, kerajaan mesti disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan komited untuk menstabilkan iklim politik, memperjuangkan ekonomi yang sejahtera, menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan memartabatkan negara di persada antarabangsa.

“Dengan ini, Dewan seharusnya mengambil pendirian dan berikrar menyokong penuh kepimpinan Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya,” katanya.

Beliau juga mengakui bahawa ini adalah kali pertama dalam sejarah kerajaan perpaduan berkuasa, berikutan parlimen yang tergantung.

Sebanyak 12 ahli Parlimen membahaskan usul tersebut dan usul diluluskan dengan undian suara bukan undian belah bahagi.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan