28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tragedi Batang Kali: NADMA segera salur bantuan waris, mangsa

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyalurkan segera bantuan kepada mangsa dan waris insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor sebaik mendapat data dan maklumat daripada agensi berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) sedang mengumpulkan data dan maklumat berkenaan.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat telah selesai dan kini fokus adalah pengurusan pasca bencana termasuk penyaluran bantuan kepada para mangsa dan ahli keluarga terlibat.

“Salam takziah buat kesemua 92 orang mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor baru-baru ini.

“Kita bersyukur kerana 61 mangsa berjaya diselamatkan dan amat berdukacita dengan kematian 31 mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Armizan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli pasukan bantuan mencari dan menyelamat daripada pelbagai agensi kerajaan yang bertungkus-lumus selama sembilan hari lalu.

Menurutnya, dia merakamkan ucapan terima kasih kepadan Pegawai Daerah Hulu Selangor selaku Pengerusi JPBD dan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Selain pasukan tindak balas bantuan pencari dan penyelamat, pelbagai pihak terlibat termasuk pasukan bantuan kebajikan dan kesihatan, pasukan teknikal dan logistik, penerangan dan media, badan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta banyak lagi.

“Walaupun insiden Batang Kali dalam kategori Tahap I yang dikendalikan JPBD Hulu Selangor, namun bantuan dan kerjasama datang daripada pelbagai pihak di peringkat pusat dan negeri,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata, rakyat Malaysia masih perlu terus bersiap siaga kerana negara masih belum keluar sepenuhnya dari tempoh fenomena Monsun Timur Laut 2022/2023.

“Sentiasa peka kepada informasi dan amaran, serta perlu patuhi nasihat agensi berwajib demi keselamatan bersama,” katanya.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan