36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

TPM puas hati penambahbaikan koordinasi bantu mangsa banjir

Ahmad Zahid juga telah mengarahkan semua agensi berkaitan mengoptimumkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk memastikan aset mencukupi sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir yang seterusnya.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan penambahbaikan koordinasi yang dilakukan oleh pasukan penyelamat bagi membantu mangsa banjir.

Beliau berharap sekiranya masih lagi terdapat kekurangan dalam langkah membantu mangsa boleh ditambahbaik dengan kadar segera.

“Sesungguhnya saya sebahagian daripada mereka.

“Saya berdoa agar semua penduduk yang terkesan banjir khususnya di Kampung Bukit Mentok ini agar terus kuat dan tabah menempuh dugaan ini.

“Saya bersedia untuk membantu sedaya upaya saya bagi mengurangkan bebanan yang dialami mereka pada saat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid meninjau keadaan kawasan banjir di Kampung Bukit Mentok Kemaman Terengganu pagi tadi.

Beliau berkata, Alhamdulilah di seluruh Negeri Terengganu berlaku penurunan 14 peratus dari jumlah mereka yang terjejas banjir kepada berbanding ketika hadir dua hari lalu di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata, bantuan akan terus disalurkan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan bukan kerajaan khususnya Kelab Putera UMNO Malaysia di bawah Biro Kebajikan UMNO Malaysia yang hadir hari ini bagi menghantar bantuan makanan bernilai RM180,000 dan trak-trak bagi usaha menyelamat mangsa banjir.

Sementara itu, dalam sidang media, Ahmad Zahid menyatakan beliau telahpun mengarahkan semua agensi berkaitan mengoptimumkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk memastikan aset yang mencukupi sebagai persiapan menghadapi gelombang banjir yang seterusnya.

“Ia bagi mengelak isu seperti kekurangan bekalan dan pemindahan mangsa yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berlaku sebelum ini berulang.

“Kejadian banjir luar jangka terutama di negeri Pantai Timur, terutama di beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan ketika ini, menyebabkan berlaku isu kekurangan makanan di PPS tertentu dan kekurangan aset untuk logistik.

“Tetapi semalam di Mesyuarat Jemaah Menteri, saya telah meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, memobilisasikan trak di depoh-depoh bekalan

“(Langkah itu) supaya ia dapat digerakkan di kawasan-kawasan yang sedia mengalami banjir dan juga kawasan-kawasan yang dijangka mengalami banjir supaya soal bekalan makanan soal pengangkutan bot umpamanya dan soal kesihatan (dapat diatasi),” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan