SEBANYAK RM10,000 akan diberikan kepada keluarga setiap mangsa yang meninggal dunia dalam runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Genting Highlands.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 turut diberi kepada ketua isi rumah mangsa yang tidak terlibat dengan kematian.
“Mangsa yang meninggal dunia kita akan segerakan bantuan RM10,000 untuk permulaan dan RM1,000 bagi setiap keluarga mangsa yang lain,” katanya pada sidang media selepas meninjau misi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) malam semalam.
Jelas Anwar, bantuan tersebut akan diselaraskan dengan pihak Menteri Besar Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, pihak Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dan JPM dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor akan memudahkan cara dalam menyalurkan bantuan terus kepada keluarga mangsa.
“Ia akan diberi kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor,” katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut memberikan penghargaan buat pasukan mencari dan menyelamat yang bekerja keras dalam suasana yang getir dan sukar ini.
“Memohon doa dari semua agar operasi mencari dan menyelamat dipermudah dan nasib keluarga yang terlibat dapt dibela sebaiknya,” katanya.
Setakat ini, SAR bagi mencari baki 12 lagi mangsa yang masih tertimbus diteruskan dan telahpun bermula pada pukul 7 pagi tadi.
Jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 94 orang rata-rata terdiri daripada mereka yang melakukan aktiviti perkhemahan di Father’s Organic Farm. – Edisi 9