36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Surat pelucutan tidak sebut spesifikasi kesalahan – Annuar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TAN Sri Annuar Musa mengesahkan telah menerima surat pelucutan keanggotaannya dalam UMNO, namun surat itu tidak menjelaskan spesifikasi kesalahan yang dilakukan sehingga membawa pemecatan tersebut.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, surat pelucutan yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hanya menyebut seksyen-seksyen berkaitan tanpa ada sebarang tuduhan terhadap beliau berkaitannya.

Bagaimanapun, beliau berlapang dada menerima surat pemecatan tersebut dan akan menjawabnya dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, baru hari ini saya menerima surat makluman perlucutan keahlian UMNO dari Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Surat hanya menyebut seksyen-seksyen berkaitan tanpa sebutan spesifik perbuatan atau tuduhan yang terkait dengannya.

“Apapun saya menerimanya secara berlapang dada. Saya ucapkan terima kasih,” katanya yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung UMNO sebelum ini.

Annuar antara tiga pemimpin akar umbi parti UMNO yang dipecat keahlian masing-masing dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung pada 8 Disember lalu.

Tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya termasuk jika seseorang ahli UMNO itu terbukti melanggar Fasal 20.9 serta perkara mengenai tata etika ahli.

Pemecatan Annuar dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakannya yang mengkritik pucuk pimpinan parti secara terbuka selain dilihat “mesra” dengan parti lawan.

Dalam Pilihan Raya Umu Ke-15 (PRU-15) lalu, penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) sebaliknya digantikan dengan Ketua Puteri Bahagian, Marzuani Ardila Ariffin.

Bagaimanapun, kerusi tersebut berjaya dirampas oleh Pas menerusi calonnya, Datuk Khlir Mohd Nor yang memenanginya dengan majoriti 23,107 undi. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan