26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PM umum berita gembira buat penjawat awam, ibu bapa

Beberapa bantuan ini bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim umum beberapa bantuan bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.

Anwar mencadangkan perkara itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan amat berterima kasih atas kesungguhan tidak berbelah bahagi anggota awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” katanya.

Sejajar dengan itu, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam gred 11 hingga 56.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah dan sebanyak RM350 kepada 1 juta pesara kerajaan.

Bagi mengatasi isu generasi tercicir ekoran pandemik Covid-19, beliau berkata, kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Menurutnya, adalah penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

“Golongan belia juga memerlukan kelangsungan peluang pekerjaan bagi meraih rezeki. Dengan didorong pelaksanaan program mengiktiraf gaji antara RM1,500 ringgit hingga RM2,100, kerajaan akan menyediakan tawaran 50,000 peluang kerjaya secara kontrak termasuk 35,000 oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui program MySTEP untuk tahun depan.

“Selari pengumuman awal saya selaku Perdana Menteri, isu kos sara hidup adalah keutamaan. Maka, adalah penting RUU ini diluluskan bagi membolehkan penyaluran Bantuan Kebajikan Masyarakat kepada isi rumah miskin, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Anwar turut mengumumkan bantuan tunai rakyat yang dilaksanakan sebelum ini, akan diteruskan dengan bayaran Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan lebih awal iaitu pada Januari 2023.

Menurutnya, bayaran Fasa 1 akan memanfaatkan hampir 9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion, membabitkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang, selain berharap ia akan membantu meringankan beban ditanggung rakyat ketika ini.

“Kerajaan akan terus memastikan kebajikan pekebun kecil getah sewaktu musim tengkujuh. Setakat ini, kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi November dan Disember ini dengan bantuan keseluruhan RM600 kepada hampir 320,000 pekebun kecil getah.

“Sukacita sebagai tambahan, kerajaan bercadang menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah, Januari ini.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat hari ini secara sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang dibentangkan Anwar.

Keputusan itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri pada mesyuarat pertama Majlis Parlimen Ke-15.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet mini bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107,718,676,650.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan