25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

PDRM, Kerajaan gagal batal saman ibu model dari Belanda

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia gagal dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut selepas terjatuh daripada sebuah unit kondominium, lima tahun lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia Online, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian atas alasan saman tersebut bukanlah satu kes biasa yang boleh diputuskan secara terus.

“Pihak plaintif memperincikan segala fakta dan kejadian yang membolehkan tindakan saman ini dimulakan dan memang terdapat beberapa isu yang perlu dibicarakan.

“Sementara itu, dakwaan pihak defendan bahawa mereka mempunyai imuniti di bawah Akta Polis 1967 tidak boleh diputuskan melalui permohonan untuk membatalkan saman.

“Ini kerana dakwaan imuniti itu menimbulkan beberapa persoalan serius di sisi undang-undang yang perlu dijawab melalui perbicaraan,” kata hakim itu.

Beliau berkata demikian ketika membaca penghakiman ringkasnya dalam permohonan PDRM dan kerajaan untuk membatalkan saman plaintif, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 58.

Christina memfailkan saman pada 20 November 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Anak wanita itu, Ivana Smit ditemukan mati pada 7 Disember 2018 dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium di Persiaran Capsquare di sini, selepas terjatuh dari tingkat 20.

Menurut Roz Mawar, pada peringkat ini, beliau tidak akan dapat menjalankan fungsinya sebagai hakim bicara dan menjawab segala persoalan yang timbul dengan begitu sahaja.

“Selepas membaca keseluruhan dokumen dan mengandaikan bahawa segala dakwaan adalah benar, adalah jelas saman ini bukanlah kes yang boleh dibatalkan begitu sahaja kerana tiada kausa alasan yang munasabah yang membolehkan tindakan itu diambil.

“Saman ini juga bukanlah sesuatu yang remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang membolehkan Mahkamah ini membenarkan permohonan defendan. Oleh itu, permohonan defendan ditolak dengan kos,” ujar Roz Mawar.

Mahkamah kemudian mengarahkan kesemua defendan membayar kos sebanyak RM5,000 dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 14 Disember ini.

Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili Datuk Sankara Nair manakala kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Mohd. Azhar Hamzah.

Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Christina atas alasan pernyataan tuntutan wanita terbabit tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Bagaimanapun pada 7 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Christina dan memerintahkan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar.

Menurut pernyataan tuntutannya, wanita itu menyatakan anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Christina berkata, dia tidak dapat menerima dapatan defendan-defendan termasuk pegawai penyiasat pertama, Sarjan Haliza menutup kes kematian anaknya sebagai `kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri’.

Menurut wanita itu, defendan-defendan membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh dari semua aspek dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam penyiasatan.

Susulan tidak puas hati tersebut, satu inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur yang bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah.

Bagaimanapun, pada 22 November, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya menyatakan kematian model itu adalah disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan