26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

KKM sahkan tiada jangkitan Naegleria Fowleri di Malaysia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Naegleri Fowleri merupakan ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah.

Selain itu menurutnya, organisma berkenaan tidak ditemui dalam air masin seperti di lautan.

“Ameba Naegleri Fowleri itu juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang.

“Ianya berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

“Namun, sehingga kini tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkongsikan kenyataan berkenaan bagi merujuk kepada sebuah laporan berita disiarkan semalam yang melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria Fowleri di Korea Selatan di mana seorang lelaki meninggal dunia pada 21 Disember lalu selepas dijangkiti Ameba Naegleria Fowleri.

Jelas beliau, lelaki terbabit dilaporkan telah menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember yang lalu.

“Ameba Naegleri Fowleri boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang seterusnya boleh membawa maut.

“Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah.

Menurutnya, gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku.

-EDISI9 

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan