26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Johari Abdul dipilih sebagai Speaker baharu Dewan Rakyat

Menewaskan calon blok pembangkang, Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad dengan 174 undi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BEKAS ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat baharu bagi Parlimen Ke-15.

Beliau menggantikan Tan Sri Azhar Azizan yang mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.

Pemilihan itu dicapai hasil daripada proses pengundian melalui kertas undi yang dibuat di Dewan Rakyat hari ini.

Ia menyaksikan Johari memperoleh 147 undi, sementara calon mewakili blok pembangkang Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad memperoleh 74 undi.

Terdahulu, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin memaklumkan dua cadangan nama tersebut yang masing-masing dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 5 Disember lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mencadangkan Johari mewakili kerajaan dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Advertisements

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang pula mencadangkan bekas Menteri Dalam Negeri, Radzi sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Johari kemudian mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Johari berkhidmat sebagai ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal namun tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaliknya digantikan anaknya, Dr. Mohammed Taufiq yang menjadi satu-satunya wakil Pakatan Harapan menang di Kedah.

Semalam, Johari telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun yang dimenangi dalam PRU-14 lalu bagi membolehkannya dilantik sebagai Speaker.

Surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat dan telah sah diterima pada 13 Disember.

– Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan