26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

JIM gagalkan cubaan seludup PATI melalui KLIA2

Sindiket penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu turut melibatkan kakitangan Imigresen.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang turut melibatkan kakitangan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Jumaat lalu.

Operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya pada jam 7.05 petang itu, mendapat maklumat hasil perisikan yang diperoleh berkenaan terdapat PATI yang disenarai hitam akan diurus kemasukan ke Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi tersebut, seramai lima orang individu berumur antara 31 tahun hingga 49 tahun telah berjaya ditahan.

“Tangkapan terdiri daripada dua perempuan warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen.

“Turut ditahan ialah dua orang pegawai Imigresen yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI tersebut,” katanya di sini.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah ejen akan mengatur kemasukan PATI yang disenarai hitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai Imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan untuk menurunkan cap masuk kepada PATI tersebut dengan upah antara RM1000 hinga RM2000 bagi setiap PATI.

Advertisements

“PATI kemudian akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju untuk tujuan bekerja secara tidak sah. Kemasukan PATI itu juga tidak direkodkan di dalam sistem Imigresen oleh pegawai tersebut,” katanya.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, kesemua PATI tersebut ditahan kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat dibawah akta yang sama.

“Manakala seorang ejen dan dua pegawai Imigresen yang terlibat pula ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut. Manakala dua orang pegawai Imigresen yang terlibat ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan,” katanya.

Ujar beliau, JIM akan terus komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak akan sama sekali berkrompomi dengan kesalahan yang melibatkan kakitangan JIM sendiri.

“Mana-mana orang yang didapati melanggar kesalahan imigresen akan diambil tindakan yang tegas,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan