25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Isu terokai potensi ekonomi, taraf hidup jadi keutamaan

Ukuran kejayaan pembangunan luar bandar tidak pernah berasaskan kepada pencakar langit yang tinggi, deretan bangunan mega, jalan raya bertingkat-tingkat mahupun kawasan perumahan yang sesak dan padat.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ISU kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar akan menjadi keutamaan dan fokus dalam menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar Malaysia terus ketinggalan.

Beliau berkata, melihat kepada angka-angka statistik ekonomi dan demografi luar bandar Malaysia, ia agak mencemaskan.

“Pertama, jika dilihat daripada penghijrahan penduduk sejak 10 tahun kebelakangan ini, lebih ramai penduduk kawasan bandar berhijrah ke luar bandar berbanding luar bandar ke bandar

Taburan Peratus Migrasi Dalaman Mengikut Arah Aliran Migrasi.

“Pada tahun 2020, angka ini adalah 18.1 peratus penghijrahan penduduk dari bandar ke luar bandar berbanding 3.0 peratus luar bandar ke bandar.

“Ini adalah angka yang menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar, bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi yang lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar.

“Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar. Tetapi nampaknya tidak,”katanya menerusi hantaran di Facebook di sini.

Jelas beliau, pembangunan luar bandar di Malaysia bukan bertujuan membandarkan wilayah atau kawasan luar bandar dan pembangunan luar bandar bukan proses urbanisasi.

“Tetapi memastikan luar bandar mencapai tahap kemajuan sesuai dengan acuan kemajuan ukuran standard yang ditetapkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu dalam melestarikan pembangunan desa.

“Dengan kata lain proses modenisasi dalam konteks cara berfikir, mengurus hal ehwal ekonomi yang progresif dan sesuai dengan keperluan semasa.

“Jadi, ukuran kejayaan pembangunan luar bandar tidak pernah berasaskan kepada pencakar langit yang tinggi, deretan bangunan mega, jalan raya bertingkat-tingkat mahupun kawasan perumahan yang sesak dan padat.

“Sebaliknya, pembangunan luar bandar adalah agenda yang mempunyai fokus dan dimensi tersendiri,”katanya.

Advertisements
Pendapatan Isi Rumah Kasar Bulanan Penengah Mengikut Strata.

Zahid berkata, ekonomi luar bandar tetap memperlihatkan kesenjangan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM 3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

“Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

“Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus.

“Dan kesenjangan ini terus melebar tahun demi tahun,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi Negara yang didorong kemajuan bandar.

“Data ini tidak mengambil kira tahun 2020 ke atas yang mana kita tahu kesan ekonomi disebabkan wabak COVID-19 jauh lebih membarah.

“Ini adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

“Maka penggal ini, saya akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa di Malaysia sepantas yang mungkin.

“Insha-Allah, saya akan mengemukakan pelan tindakan dan KPI Kementerian dalam masa terdekat.

“Dan Insha-Allah, jika kita bersama-sama bersatu hati dan beriltizam, kita akan dapat memakmurkan kembali luar bandar Malaysia,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan