30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bot nelayan ditahan tangkap ikan di zon larangan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan dipercayai melakukan aktiviti perikanan di bawah 5 batu nautika di perairan Tanjung Karang sekitar jam 10.30 pagi, semalam.

Bot nelayan tempatan Kelas B1 itu juga didapati menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim, V. Siva Kumar berkata, bot itu ditahan ketika menangkap ikan di kedudukan 2.4 batu nautika Sungai Burong, Tanjung Karang dalam rondaan rutin Op Ehsan dan Op Benteng Laut.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga tempatan dan tiga warga Myanmar berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

“Pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah ketika diminta penguat kuasa.

“Sehubungan dengan itu, bot bersama kru dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan,” katanya di sini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen kerana menggajikan warga asing tanpa kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta menangkap ikan di bawah 5 batu nautika dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas.

Ujarnya, Maritim Malaysia memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ketika berada di perairan negara serta akan terus melakukan rondaan dan pemantauan di sempadan negara.

“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 dengan segera,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan