30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Banjir : Jumlah mangsa di Pahang dan Perak catat penurunan

Bagaimanapun, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka semula di Terengganu setakat malam tadi.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JUMLAH mangsa banjir di Pahang dan Perak mencatatkan trend penurunan manakala Johor dan Kelantan meningkat sedikit, sementara dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka semula di Terengganu setakat malam tadi.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan banjir di Temerloh pulih selepas semua 158 mangsa terakhir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan dibenarkan pulang petang Rabu.

Namun, situasi di dua lagi daerah yang terjejas banjir malam tadi tidak berubah berbanding petang tadi dengan 142 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara, Pekan manakala sembilan mangsa berada di SK Kerayong, Bera.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 104 orang daripada 25 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 114 orang daripada 29 keluarga petang tadi, dengan kesemua mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Abd Rahman Talib di daerah Hilir Perak, Dewan SK Slim River (Mualim) dan Dewan Orang Ramai Kampung Tersusun Teluk Memali (Perak Tengah).

Sementara itu, di JOHOR, jumlah mangsa banjir di Segamat dan Kota Tinggi meningkat kepada 159 orang setakat 8 malam tadi, berbanding 148 orang petang semalam, dengan pembukaan satu lagi PPS di Segamat iaitu Dewan Komuniti Kampung Tasek yang menempatkan 10 mangsa dari Kampung Seberang Batu Badak.

Menurut JPBN, 61 orang masih ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan Balai Raya Kampung Kuala Paya, manakala di Kota Tinggi, seramai 88 orang daripada 27 keluarga dipindahkan ke Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar.

“Kesemua mereka terdiri daripada tujuh keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas manakala 20 keluarga adalah dari Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Di KELANTAN, jumlah mangsa turut menunjukkan sedikit peningkatan malam tadi dengan 2,019 orang daripada 637 keluarga di jajahan Pasir Mas ditempatkan di tujuh PPS, berbanding 2,014 orang daripada 634 keluarga petang Rabu.

Sekretariat JPBN Kelantan memaklumkan seramai 712 mangsa berlindung di SK Tok Deh, SK Kedai Tanjong (47), SK Gual Periok (544), Masjid Mukim Padang Licin (69), PPS Putat Tujoh (157), SK Kubang Kual (256) dan SK Sri Kiambang (234).

Di TERENGGANU pula, hanya selepas lima jam PPS di seluruh negeri itu ditutup sepenuhnya, bencana banjir kembali melanda membabitkan daerah Hulu Terengganu dengan jumlah mangsa banjir di kawasan tersebut seramai 61 orang daripada 13 keluarga.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan hanya dua PPS dibuka sejak daerah itu mula dilanda banjir petang tadi iaitu Balai Raya Kampung Kemat yang menempatkan 35 mangsa daripada 10 keluarga dan Balai Raya Kampung Tapah yang mempunyai 26 mangsa (tiga keluarga).

Berdasarkan data yang dikongsi menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai di Hulu Terengganu iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kuala Ping kini melebihi paras bahaya. – BERNAMA

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan