28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Syor MPN dorong usahawan bangkit selepas pandemik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PANDEMIK Covid-19 dan pasca-pandemik tersebut ternyata memberi cabaran baharu kepada golongan usahawan dan peniaga untuk kembali bangkit meneruskan perjuangan dalam perniagaan.

Semuanya tidak lain, adalah demi kelangsungan hidup dan komuniti itu kini masih dalam fasa pemulihan untuk memastikan perniagaan yang terjejas teruk ketika pandemik COVID-19 kembali kukuh dan terus bertahan.

Kesan langsung penularan COVID-19 ke atas perniagaan yang paling ketara adalah pengurangan hasil jualan berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Bagaimanapun, untuk kembali pulih dan ‘bernafas’ seperti sedia kala tidak semudah yang disangka, meskipun sempadan dan ekonomi negara telah dibuka.

Rata-rata usahawan masih lagi berusaha sepenuh tenaga untuk memulihkan kembali perniagaan mereka dan mengharapkan adanya penambahbaikan bagi menyuntik kembali kekuatan ekonomi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Namun usaha berterusan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan mengutarakan pelbagai inisiatif bagi membantu kerajaan melaksanakan program pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19 banyak membantu mereka.

Ini terbukti apabila usaha dilakukan MPN tersebut sedikit sebanyak membuahkan hasil khususnya kepada golongan sasar.

Situasi getir itu juga ditempuhi Pengarah Urusan UK Ice Blendz, Ahmad Muzakkir Hamid, 46, selepas perniagaan minuman yang diusahakannya sejak 2004 berdepan masalah berikutan pandemik Covid-19.

Mengimbas kembali katanya, perniagaannya terjejas sehingga 80 peratus dan diawal pandemik, perniagaan memang tidak boleh dibuka sehinggalah adanya kaedah penggiliran diberikan oleh kerajaan.

“Waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) juga, jualan perniagaan minuman tidak serancak seperti perniagaan makanan. Memang terjejas teruk. Bila semua sektor ekonomi boleh dibuka, saya terpaksa memulakan semula perniagaan yang telah terhenti dalam tempoh dua tahun.

AHMAD MUZAKKIR HAMID

“Biarpun begitu, apabila kita mulakan balik perniagaan dalam tahun ini namun ianya belum lagi mencapai keuntungan sepenuhnya dalam perniagaan. Berjalan macam biasa tapi dalam kerugian.

“Tetapi atas juang yang tinggi, terpaksalah saya pertahankan dalam apa cara sekalipun dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini,” katanya yang bersyukur kerana menerima Geran Khas Prihatin, yang sedikit sebanyak membantu perniagaannya.

Menjadi harapan beliau supaya kerajaan dapat menambah baik pemberian bantuan sama ada dari segi geran, subsidi berkaitan, atau pemotongan cukai kepada PMKS.

“Memandangkan kita dalam fasa pemulihan ini, jadi penambahbaikan pemberian bantuan perlu disegerakan. Bantuan yang diberi pun wajarlah dalam nilaian yang besar.

“Contoh jika kerajaan berikan bantuan dari segi geran kepada PMKS yang layak, ia boleh membantu dan kerajaan sebenarnya boleh memantau. Wujudkanlah subsidi apa sekalipun untuk peniaga demi pastikan perniagaan terus kekal bertahan,” katanya kepada Edisi 9.

Pengarah Ampearl Sdn Bhd, Mohd Hasnur Ruslan, 35, pula berkata, perniagaannya kini kurang ‘rancak’ meskipun sempadan dan ekonomi negara telah dibuka.

Advertisements

“Inilah hakikat yang dihadapi kebanyakan sektor perniagaan dan usahawan termasuk perniagaan saya yang masih lagi terjejas di kala mengharungi fasa pemulihan kerana buying power kurang.

MOHD HASNUR RUSLAN

“Seperti syarikat saya yang mengendalikan perniagaan produk kecantikan dan kesihatan, sasaran pasaran adalah golongan pertengahan tetapi disebabkan kurang pembelian, maka perniagaan terkena tempias.

“Oleh itu, kerajaan perlu buat ‘sesuatu’ supaya PMKS  dapat bertahan. Usahawan perlukan sokongan dan suntikan supaya ekonomi negara dapat kembali pulih dan seterusnya dilonjakkan,” katanya yang memberitahu terpaksa beralih arah dari pemasaran perniagaan fizikila ke dalam talian ketika diawal pandemik.  

Katanya, ketika PKP, beliau menerima bantuan Program Subsidi Upah (PUS) untuk membayar gaji pekerja dalam keadaan perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Program ini sedikit sebanyak dapat membantu majikan yang terjejas untuk memastikan pekerja masih mempunyai pendapatan sementara bagi meneruskan kehidupan.

“Saya berharap kerajaan kekal komited memperkenalkan inisiatif yang sewajarnya kepada usahawan agar sektor PMKS berkembang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, situasi berbeza dihadapi usahawan, Ismaliza Yahya, 36, yang berkata, pelaksanaan PKP di awal pandemik COVID-19, tidak menjejaskan sumber perniagaannya malah memberi kesan positif luar jangkaan.

Beliau yang merupakan Pengarah Syarikat, Sara Sofeya Cakes Group Sdn Bhd berkata, permintaan kek agak tinggi pada masa itu lebih-lebih lagi semasa PKP 1.0.

ISMALIZA YAHYA

“Kami juga berjaya membuka premis pada waktu pandemik,” katanya yang tidak menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan.

Katanya, dengan pembukaan semula sempadan negara, perniagaan yang dikendalikan berada dalam landasan yang lebih baik kerana mampu menarik pelanggan dari luar kawasan.

“Sungguhpun mendapat sambutan memberangsangkan, namun perniagaan mengalami masalah tenaga kerja kerana ramai yang memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan berbanding makan gaji kerana pulangan yang lebih tinggi dan tiada komitmen penuh,”katanya.

Masalah tenaga kerja juga turut dibimbangi Pengasas Wak Private Kitchen Mohd Rizal Salikon, 43, yang berkata, negara perlu perbanyakkan institusi yang melatih kemahiran khusus pada anak muda.

“Sekurang kurangnya ia memberi sedikit pengalaman pada mereka dan mereka boleh gunakan pengetahuan itu secara terus ke dalam bidang apa yang mereka belajar dulu dalam kerja hakiki.

“Dengan langkah itu sedikit sebanyak dapat membantu usahawan dalam mengendalikan perniagaan dengan lebih efesien.

“Oleh itu, MPN perlulah kemukakan cadangan agar kerajaan memberikan lebih banyak bantuan segera bagi memacu semula sektor PMKS dari pelbagai aspek termasuklah tenaga kerja,” katanya.

Mengulas mengenai perniagaan kini, katanya, dengan pembukaan semula sempadan negara, perniagaan  beransur pulih buat masa ini walaupun tiada pelanggan dari luar negara, rentak perniagaan sudah sedikit demi sedikit kembali pulih.

“Diawal pandemik, dengan pergerakkan terhad telah banyak membantutkan proses, terutama proses mendapatkan bahan mentah dan proses penghantaran bahan yang sudah siap,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan