24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

RISDA salur RM15.8 juta bantuan pekebun kecil di Kedah

Peruntukan yang disalurkan itu merupakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM15.8 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk negeri Kedah.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, RISDA menerima sejumlah 26,348 permohonan daripada pekebun kecil getah setakat ini.

“Penerima bantuan tersebut merupakan golongan pengusaha dan pemilik daripada golongan pekebun kecil getah di seluruh negeri Kedah yang layak.

“Setakat hari ini, seramai 16,889 orang penerima telah dikreditkan bayaran BMT bagi fasa pertama sebanyak RM300 setiap orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Negeri Kedah di Kg. Musa, Pedu, hari ini.

Jelas Mahdzir, bagi daerah Padang Terap, peruntukan keseluruhan BMT oleh RISDA adalah sebanyak RM2.57 juta dengan sasaran agihan untuk 10,886 orang pekebun kecil.

Advertisements

Setakat ini sejumlah 3,077 permohonan telah diluluskan dan 2,987 pekebun kecil daerah itu telah menerima bayarannya.

“Ini menunjukkan prestasi yang baik oleh pihak RISDA dalam memastikan penyaluran bantuan ini sampai kepada golongan sasar dalam masa yang ditetapkan.

“Ini adalah salah satu inisiatif daripada pihak kerajaan Keluarga Malaysia melalui RISDA dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan taraf kehidupan pekebun kecil getah,” katanya.

Tambah Mahdzir, bayaran fasa pertama akan terus dilaksanakan dalam bulan November kepada baki pekebun kecil yang masih belum menerimanya.

“Manakala bayaran fasa kedua pula akan dilaksanakan sepanjang bulan Disember secara berperingkat.

“RISDA bukan hanya menyalurkan bantuan BMT kepada pekebun kecil, malah turut ada bantuan seperti penyediaan prasarana pertanian, kemudahan insfrastruktur pertanian, skim getah matang, pembangunan keusahawanan serta latihan dan pendampingan di kebun-kebun getah milikan pekebun kecil,” kata Mahdzir. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan