30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Agong perkenan tempoh hantar SD dilanjutkan 2 petang esok

Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilanjutkan sehingga jam 2.00 petang esok (22 November).

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, lanjutan itu membabitkan pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 .

“Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu adalah susulan daripada permohonan-permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

Advertisements

“Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan menyatakan Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan diminta oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum jam 2 petang, 21 November (hari ini).

“Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad,” katanya.

Pagi tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta lanjutan masa untuk menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong petang nanti.

Bahkan menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, lanjutan masa itu adalah setelah keputusan dibuat berdasarkan rundingan yang bakal dilakukan dengan mana-mana pihak.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan