DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan wujud perbelanjaan tidak direkod dalam kerajaan ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Kenyataan itu dibuat bekas Perdana Menteri susulan tular dalam media sosial dakwaan bahawa sejumlah RM620 bilion wang kerajaan tidak direkod dalam Akaun Perbendaharaan untuk tahun 2020 hingga 2022 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Beliau berkata, semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.
“Berhubung komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022, saya ingin menegaskan dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.
“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion di mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).

“Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telah pun diluluskan Parlimen sebulat suara,” katanya hari ini.
Ismail Sabri adalah Perdana Menteri Kesembilan dan mula memimpin kerajaan pada 23 Ogos tahun lalu sehingga pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu.
Baru-baru ini seorang pengguna twitter, Yusoff Bachek memuat naik kenyataan menuduh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri tidak merekodkan perbelanjaan sebanyak RM620 bilion dalam Akaun Perbendaharaan semasa PKP dan Darurat.
“Sekarang kita tahu kenapa Muhyiddin dan Ismail Sabri tidak mahu orang lain jadi PM (Perdana Menteri),” katanya.
Bagaimanapun difahamkan kenyataan tersebut telah dipadamkan dan individu berkenaan telah membuat ciapan memohon maaf terhadap kedua-dua pemimpin negara tersebut. – Edisi 9