31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kerjasama strategik BN-PH tak abai prinsip UMNO – Zahid

Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERJASAMA strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam membentuk Kerajaan Persekutuan serta negeri di Pahang dan Perak tidak akan sama sekali mengabaikan prinsip UMNO.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bukannya untuk pascapilihan raya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pada masa yang sama usaha tersebut adalah berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar BN membentuk kerajaan perpaduan dengan PH.

“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa,” katanya hari ini.

Malah ujar Zahid, sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif.

Menurutnya, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderat, sederhana, sentrik dan progresif dalam menangani perubahan.

“UMNO juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, pelantikan Menteri Besar Perak dan Pahang menonjolkan mercu landskap politik yang baharu di negara ini.

Advertisements

“Kerjasama BN-PH dalam membentuk kerajaan di Perak dan Pahang adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesan suasana ekonomi dunia yang mencabar, perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara.

Katanya, kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.

“Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Menurut beliau, keterbukaan berkenaan mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang.

“Kesemua ini selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan kini ia berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional (PN) menolak menyertainya.

“Namun semangat perpaduan tetap menjadi inti atau teras utama kerajaan ini,” katanya.

  • EDISI9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan